Komen Blogger: Saya rasa terjemahan oleh saya artikel dalam bahasa Inggeris oleh Mohd Hafiz Noor Shams yang tersiar dalam The Malaysian Insider ini akan memanfaatkan di antara kita yang masih kabur mengenai realiti kenaikan harga minyak sekarang ini
"Setelah bertahun-tahun cuba menampal kebocoran di sana-sini pada dinding yang tidak sempurna, ia tidak lagi mampu menahan tekanan yang begitu kuat. Dinding itu tidak sepatutnya berada di situ daripada mula lagi. Akibatnya kini ialah realiti yang kita sedang hadapi.
Pelbagai reaksi timbul berikutan penarikan subsidi minyak baru-baru ini. Kita mendengar suara-suara lantang dijalanan menyalahkan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi kerana kononnya salah-menguruskan ekonomi negara. Tuduhan ini amatlah tidak adil dan tidak kena pada tempatnya. Jika dilihat dari perspektif lain, pengurangan kadar subsidi sebaliknya akan menguntungkan masyarakat secara jangka panjang.
Sememangnya ada sejarah di sebalik tuduhan in. Sejarah yang bermula sejak sebelum 5 June lagi.
Kos kehidupan yang lebih tinggi antara sebab yang dikaitkan dengan kehilangan banyak sokongan dan undi Barisan Nasional ke tangan Pakatan Rakyat pada 8 Mac. Dalam usaha meyakinkan pengundi memilih calon-calon Pakatan, Anwar Ibrahim telah mencadangkan penurunan harga runcit minyak seperti pada tahun 90an.
Walaupun sekadar retorik, saya tidak yakin kerajaan PR akan dapat menaikkan saiz subsidi tanpa menggugat ekonomi ketika harga sebenar minyak mentah berada pada tahap paling tinggi dalam sejarah. Pendek kata pendekatan yang dicadangkan PR hanyalah berdasarkan cakap kosong ingin popular tanpa mengambil kira hakikat sebenar ekonomi.
Setakat ini, rakyat Malaysia agak bernasib baik kerana jika diperhatikan dari satu sudut kita sebenarnya terlindung daripada realiti buruk di luar sana. Perisai subsidi yang kita nikmati selama ini sebenarnya amat mahal dan satu cara tidak bijak untuk membelanjakan sumber-sumber berharga yang kita miliki selama ini.
Daripada menggalakkan penggunaan cara ini, adalah lebih baik digunakan sumber-sumber ini bagi membina keupayaan, terutama dalam pendididkan dan penyelidikan. Usaha yang lebih intensif perlu disalurkan ke arah kaedah-kaedah untuk membaiki ekonomi. Pemberian susbsidi tidak mampu melakukan semua ini dan sebaliknya hanya melambatkan pencapaian ke arah matlamat mencari sumber lain daripada minyak dengan cara yang amat mahal.
Walaupun bernasib baik, saya kira kita masih tidak mampu mendapatkan pengajaran daripada sejarah. Kita pernah berada di tahap ini dan sememangnya ada perkara yang boleh dipelajari. Pada tahun-tahun 1970an dan awal 1980an, harga minyak mentah yang tinggi telah menggalakkan penjimatan minyak. Dengan kejatuhan permintaan berikutan peningkatan kesedaran di kalangan pengguna yang disokong amalan jimat cermat, harga minyak turun mendadak dan terus berada di paras rendah hingga 2003.
Saya yakin dengan pelaksanaan dasar proaktif, perubahan struktur yang membawa kepada harga bahan api yang rendah boleh berlaku lagi. Apa yang perlu di sini ialah dasar yang sesuai seperti penghapusan subsidi minyak.
Subsidi yang kita nikmati selama ini sebenarnya mengaburi kos sebenar penggunaan dan masalah-masalah berkaitan seperti pencemaran udara dan penggunaan berlebihan. Penggunaan berlebihan, terutamanya, akan menaikkan harga daripada apa yang sepatutnya berlaku dalam pasaran bebas.
Dengan segala-galanya dikaburi, memang payah untuk menangani sebarang masalah ekonomi. Ia seperti sebuah generator yang diletak di belakang dinding kalis bunyi – kita tidak akan dapat mendengar bunyi bising yang dkeluarkan. Tanpa mengambil kira keadaan sebenar generator tersebut, ia terus menjana tenaga untuk kegunaan kita dan memberikan persepsi seolah-olah semuanya ok belaka, walhal sebenarnya tidak.
Kita mendapat keuntungan tetapi kita tidak membayar kosnya. Ini membawa kepada ketidaksepadanan antara kos dan 'keuntungan' yang kita perolehi. Dan apabila akhirnya kita merasakan sesuatu yang tak kena, segala-galanya sudah terlambat untuk dipulihkan. Subsidi ialah dinding yang dimaksudkan tadi – ia menahan sebarang isyarat yang sepatutnya sampai ke pengetahuan kita untuk ditangani.
Sebenarnya Malaysia tidak bersendiri dalam tindakan menghapuskan dasar subsidi minyak. Indonesia juga sehaluan dengan Malaysia sementara India dan Taiwan mengikut jejak yang sama.
Tidak mungkin keempat-empat negara bersekongkol untuk menyukarkan kehidupan rakyatnya. Juga tidak masuk di akal jika dikatakan keempat-empat negara ini tidak cekap menguruskan ekonomi masing-masing. Sebenarnya banyak negara di dunia sedang berusaha menstruktur semula kos subsidi minyak.
Satu lagi persoalan yang sering ditimbulkan : Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar minyak, kenapa rakyatnya perlu membayar harga runcit begitu tinggi? Sekali pandang jawapan kepada soalan ini menjurus kepada penyelesaian yang mudah, tetapi yang bertanya jelas tidak memahami selok-belok ekonomi. Cuba fikirkan: dengan harga minyak yang begitu tinggi, apakah kita perlu menggunakan bahan api itu seolah-olah ia tidak berharga atau sebaliknya menjual di pasaran dunia untuk membolehkan kita membiayai program pendidikan lebih mantap, pembangunan infrastruktur yang menawarkan jaminan kepada pembangunan ekonomi dan juga, jika kita mampu, mewujudkan satu keadaan ekonomi yang kukuh?
Kenaikan harga minyak adalah satu fenomena global dan pentadbiran Abdullah Ahmad Baadawi tidak mempunyai kuasa untuk menentukannya. Samada kita mahu mempercayainya atau tidak, kerajaan di serata dunia kini berada di bawah kuasa telunjuk yang tidak dapat dilihat.
Menyalahkan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi sebagai punca kenaikan harga minyak bermakna membelakangi realiti di luar sana. Seseorang yang ikhlas tidak akan menuding jari tetapi sebaliknya lebih berminat untuk merumuskan dasar terbaik untuk menyesuaikannya dengan keadaan dunia masakini.
Harga minyak dunia yang lebih tinggi memerlukan perubahan pada struktur ekonomi kita dan langkah pertama ke arah matlamat itu ialah dengan menerima hakikat minyak mentah tidak lagi murah seperti mana pada tahun-tahun 1990an.
Tindakan terus-menerus mempertahankan dasar subsidi hanya melambatkan perubahan yang perlu dilakukan. Dalam konteks ini lagi cepat kita menyedarinya, lebih bersedia kita untuk menghadapi masa akan datang. Kini tiba masanya bagi kita bertindak secara rasional dan proaktif dan bukan sekadar menyapu sampah ke bawah permaidani, iaitu dengan mengamalkan dasar yang lapuk. Dunia sudah berubah.
Di Malaysia kita sentiasa mendengar ungkapan-ungkapan sinis bagaimana kita memiliki infrastruktur bertaraf dunia pertama tetapi minda bertaraf dunia ketiga. Nah, krisis yang berlaku sekarang peluang baik bagi kita membuang dasar-dasar dunia ketiga dan menggantikannya dengan dasar-dasar dunia pertama.
Dalam pada itu kerajaan Malaysia menghadapi defisit. Ini bermakna kita semua berhutang dengan seseorang. Kita perlu mencari jalan untuk membayar segala hutang-hutang itu.
Bagaimanapun, dengan terus menyokong subsidi minyak, kita sebenarnya tanpa berfikir panjang seolah-olah menggunakan kad-kad kredit kita secara bebas untuk membiayai perbelanjaan makanan dan minyak tanpa melabur untuk masa hadapan. Bagaimana akan kita langsaikan hutang-hutang itu jika kita terus-menerus membelanjakan segala sumber kita dengan begitu boros dan rakus? Apakah kita akan mewariskan segala hutang kepada anak-anak kita?
Saya, sekeras-kerasnya kata tidak. Kita lebih bertanggung-jawab daripada itu."
No comments:
Post a Comment