Wednesday, May 28, 2008

Kembalinya Ezam untuk kuatkan Pak Lah?


 

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd. Noor diterima kembali ke pangkuan Umno - parti yang ditinggalkannya satu dekad lalu dengan Pak Lah menyifatkanya "seorang yang istimewa."

Bagaimana pun Pak Lah menolak tanggapan Ezam akan diberikan jawatan penting dalam parti dan kerajaan dalam waktu terdekat.

Kalangan pemerhati pula menyifatkan tindakan Ezam sebagai perkembangan menarik dalam senario politik semasa termasuk ketika Umno berhadapan dengan 'krisis' baru manakala Pakatan Rakyat pula menguasai lima kerajaan negeri.

Malah, perkembangan ini yang pertama membabitkan seorang bekas pemimpin kanan PKR kembali kepada Umno selepas pilihan raya 8 Mac lalu.

Ezam menyifatkan pertemuannya dengan Pak Lah baik dan positif. Dia tidak mengulas lanjut selepas pertemuan empat mata hari ini, sebaliknya berkata akan mengadakan sidang akhbar di Petaling Jaya esok.

Bagaimanapun belum pun sampai esok, dalam siaran berita TV3 pukul 8 malam, dia memberikan wawancara yang memakan sebahagian besar durasi program tersebut.

Beberapa jam sebelum pertemuan Pak Lah dan Ezam, Jawatankuasa Pengurusan Umno mengadakan mesyuarat. Selepas pertemuan itu Pak Lah berkata Ezam telah berada di kedua-dua Umno dan Keadilan. Selepas berada di kedua-dua pihak, dia merasakan lebih baik berada di dalam Umno (untuk berjuang).

Dalam pertemuan petang tadi Ezam juga mengemukakan permohonan kepada Pak Lah untuk kembali memasuki Umno. Pak Lah berkata beliau belum lagi mengadakan perbincangan dengan Pemuda Umno mengenai hasrat Ezam menyertai kembali parti. Ketika ditanya sama ada permohonannya sudah diterima, beliau berkata: "Dah, boleh terima."

Pak Lah juga mengakui tiada apa-apa syarat dikenakan ke atas permohonan Ezam memasuki semula Umno.

Reaksi ahli UMNO, para pemerhati politik dan tidak kurang juga parti pembangkang bercampur di antara terperanjat, senyuman sinis, panik, dan kebencian.

Bagaimanapun, ada di antara penganalisis menyifatkan perkembangan ini sebagai petanda Pak Lah mula bergerak untuk transisi peralihan kuasa.

No comments: