Beberapa pemimpin Wanita bahagian di Sabah mendesak agar ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mempercepatkan peralihan kuasa kepada naibnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam persidangan agung Umno, Mac depan.
Semalam, pergerakan itu memutuskan pelan peralihan kuasa itu dikekalkan pada Jun 2009 dan tiada pertandingan jawatan nombor satu dan dua dalam pergerakan itu, tahun depan.
Ketua Wanita Umno Kudat, Aminah Ambrose menjelaskan pelan asal peralihan kuasa pergerakan akan menyukarkan Shahrizat untuk bekerja.
"Apabila beliau (Shahrizat) menjadi pemangku, tidak ada naib, susah untuk beliau bekerja.
"Ada kuasa (sebagai pemangku) tapi tak ada autoriti tak guna juga," katanya hari ini.
Tambahnya, peralihan kuasa harus dipercepatkan kepada Shahrizat sebagai usaha untuk memperkasakan semula Wanita Umno.
Wanita bahagiannya mencalonkan Shahrizat sebagai ketua wanita dan Datuk Maznah Mazlan sebagai naib dalam mesyuarat Wanita bahagian baru-baru ini.
Katanya, beliau tidak dapat menerima sebab mengapa Rafidah tidak mahu menyerahkan jawatan kepada Shahrizat.
"Apa yang dia boleh buat dalam masa tiga bulan (Mac hingga Jun)?," katanya.
Aminah berasa yakin sekiranya Rafidah menyerahkan tugas kepada naibnya itu, perwakilan akan memberikan tepukan hormat sambil berdiri kepada beliau kerana berbuat demikian.
Sementara itu, Wanita Libaran meminta ketua Wanita Umno mempertimbangkan untuk mempercepatkan peralihan kuasa pada pemilihan agung Umno Mac depan.
"Saya memohon agar mempercepatkan peralihan kuasa dan tidak mahu ada pertandingan (ketua dan naib) dalam Wanita," kata ketua wanitanya, Datuk Armani Mahirudin.
Ditanya sebab peralihan perlu dipercepatkan, beliau enggan mengulas lanjut sebab-sebab itu.
Armani menjelaskan, tarikh peralihan kuasa yang dipersetujui pada Jun 2009 itu membelakangkan pendirian bahagian tersebut dan bahagian-bahagian yang mencalonkan Shahrizat sebagai ketua Wanita dan Datuk Kamilia Ibrahim sebagai naibnya.
Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan kedua-dua pemimpin itu untuk berbincang berhubung keputusan itu agar tidak timbul perselisihan di antara mereka.
Bagi jawatan nombor satu, Rafidah mendapat 117 pencalonan, Shahrizat 73 sokongan; sementara jawatan naib Shahrizat peroleh 113 sokongan dan Kamilia (54).
Monday, November 10, 2008
Wanita UMNO: Dalam mesyuarat lain, selepas mesyuarat lain...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment